nuffnang

Friday, January 30, 2009

Sistem beragama elak gejala sosial masyarakat

Isu ini memang tak habis2 selagi penerapan nilai2 keagamaan tidak diterapkan. Isu merempit, bohsia atau minah rempit, sek minah dan mat rempit, penbuangan bayi dan sebagainya mempunyai kaitan yang rapat. Siapa yang hendak dipersalahkan... semua pihak bertanggungjawab.

Ibubapa, masyarakat dan semuanya terlibat secara langsung. tidak ada masa nak menunjukkan telunjuk ke arah sesiapa. sama-sama kita menanganinya..

Tazkirah hari ini akan membicarakan tentang sistem agama dapat membendung gejala sosial yang berlaku. Tazkirah dipetik dari tulisan:

Ufuk Minda:Bersama Prof Dr Sidek Baba
PERKATAAN Islam itu sendiri membawa maksud selamat dan sejahtera. Ia bukan agama yang membebankan. Sesetengah orang merasakan agama adalah belenggu.
Ia tidak memberi kebebasan manusia melakukan sesuatu. Banyak kekangan syarak yang dikatakan menghalang kemajuan pada hari ini.


Oleh itu, sesetengah orang berpendapat agama ini biarlah berada pada tahap kepercayaan bukan pada tahap cara hidup.
Kepercayaan dan cara hidup dalam Islam mempunyai kaitan yang rapat. Tidak ada sistem kepercayaan kalau tidak ada cara hidup dan begitulah juga sebaliknya.
Sistem kepercayaan terhadap Allah memberikan pedoman dan petunjuk kepada manusia bahawa cara hidup Islam bermula dengan sistem kepercayaan.
Kalau kita yakin Allah itu ada, ia Pencipta dan juga Pengurus alam ini maka dengan sendirinya terkait dengan manusia. Ia disebabkan hikmah kejadian alam dan sumber dalam kehidupan sebahagiannya adalah untuk manusia.

Tidak mungkin manusia hidup tanpa air. Lalu air hujan diturunkan bagi menumbuhkan pokok untuk kepentingan manusia. Tidak mungkin manusia boleh mengatur sistem kalau tidak ada sumber.
Minyak, gas, uranium dan seumpamanya adalah sumber tenaga ciptaan Allah. Daripadanya manusia berekonomi dan memajukan teknologi. Dari situ datang kehidupan.

Kita berjalan di jalan raya memerlukan pedoman. Kita berada di dalam pejabat memerlukan peraturan.
Kita mengurus negara memerlukan kaedah dan pendekatan. Manusia menentukan keadilan di mahkamah memerlukan undang-undang.

Mesin dan alat teknologi hanya boleh berfungsi sekiranya pengguna tahu boleh dan tidak bolehnya. Pokoknya, kehidupan itu sendiri memerlukan cara dan jalan.
Kehidupan beragama tidak saja memberikan kita pedoman dan aturan tetapi memberikan manusia nilai.

Nilai seperti amanah, adil, bijaksana, tulus, telus dan jujur amat penting bagi kehidupan dan pengurusan.
Sekiranya perbuatan tidak amanah berlaku, sumber Allah dan negara akan di salahguna dan ia akan merosakkan sistem. Sekiranya keadilan tidak diletakkan pada tempatnya, kucar-kacir akan berlaku.


Jika kebijaksanaan tidak ada, manusia akan mengalami kesukaran menentukan yang hak dengan yang batil.
Sekiranya sifat telus, tulus dan jujur tidak ada pada manusia, perasaan syak wasangka, rasa tidak percaya akan subur. Ia bakal merosakkan perjalanan sesuatu sistem. Nilai adalah penting untuk melihat kebaikan amalan dan perbuatan.

Kehidupan akan jadi membebankan sekiranya nilai murni agama tidak dipatuhi. Dalam keluarga umpamanya nilai pelindung (qawwamun) perlu ada bagi suami. Jika seorang suami melihat isterinya sebagai sumber amanah, amanah itu tidak saja datangnya daripada Allah tetapi daripada waris-walaknya.

Isteri akan berada pada tahap kebahagiaan yang amat tinggi. Ibu yang jiwanya sejahtera kerana suaminya adalah orang yang patuh dengan ajaran agama bakal menjadi ibu yang baik kepada zuriat suami. Anak akan dewasa dengan kasih sayang, belaian, ilmu dan tunjuk ajar yang baik.

Anak-anak bakal jadi anak cerdik dan cemerlang kerana suasana rumah merangsang ke arah itu. Lalu bakal lahir generasi anak-anak yang ceria dan bahagia. Ia adalah aset untuk keluarga dan negara.

Hari ini kita dapati banyak kepincangan berlaku terhadap anak. Semakin ramai anak terbabit dengan amalan merokok dan salah guna dadah.
Semakin meningkat statistik anak terbabit dalam jenayah juvana (remaja) yang merungsingkan ramai pihak.
Jumlah yang terbabit dengan salah laku sosial, pertambahannya amat besar. Yang berada di pusat serenti semakin ramai. Yang terbabit dengan bencana Aids/HIV tidak pula mengurang. Yang membabitkan diri dengan mat rempit berlaku di bandar dan luar bandar.

Gambaran itu tidak baik untuk keluarga dan negara. Ia bukan aset tetapi beban yang sedang menunggu.
Banyak wang akan dihabiskan untuk menguruskan masalah berkaitan. Yang penting diketahui di mana punca masalah itu berlaku.

Sekiranya ajaran agama dianggap sebagai beban, manusia akan hilang pedoman. Inilah yang akan berlaku.
Bayangkan di rumah, nilai agama dijadikan pedoman. Anak mengikut disiplin solat untuk mendisiplinkan dirinya.
Anak dilatih bersopan dan santun, tahu makna malu, boleh dan tidak boleh ia bakal mentertibkan anak dengan amalan yang baik.

Apabila bergaul dengan orang lain, kesantunan tetap ada. Apabila berada di jalan raya ia menjadi anak yang patuh pada peraturan lalu lintas. Apabila tidak cemerlang di sekolah, dia rasa malu pada ibu dan ayah.
Apabila bertemu guru dan ibu bapa, anak menjadi taat. Inilah nilai baik dalam agama sekiranya dihayati, anak akan mempunyai sahsiah dan akhlak sempurna.

Masalah remaja pada hari ini ialah masalah akhlaknya yang berpunca daripada nilai agama diabaikan.
Yang dijadikan ikutan dan tiruan ialah nilai buruk yang datang daripada seni lagu, hiburan, filem, sumber internet, pergaulan sesama rakan sebaya, hilang malu, suka melanggar peraturan, sifat ego yang melampau hingga menyebabkan gelagat mereka menjadi kasar, biadap dan cenderung merosakkan harta awam dan babit dalam jenayah serta juvana.

Membangunkan akhlak ialah mengamalkan nilai agama. Bercakap benar tidaklah membebankan sekiranya anak-anak diajarkan sedemikian.
Bekerja kuat tidaklah menjadi beban sekiranya dorongan itu yang diberikan kepada anak.
Mempunyai sifat malu terhadap Allah dan orang lain adalah penting untuk menjaga kerukunan hubungan manusia dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Nilai ini apabila dipupuk dengan baik, akan memberi asas kekebalan kepada anak-anak.

Kekebalan ini penting kerana anak bakal menghadapi cabaran sebenar dalam hidup. Bayangkan kalau tidak ada pedoman agama, kesesatan dalam kepercayaan dan amalan boleh berlaku.

INTI PATI
Masalah remaja pada hari ini ialah masalah akhlaknya yang berpunca daripada nilai agama diabaikan.
Sekiranya sifat telus, tulus dan jujur tidak ada pada manusia, perasaan syak wasangka, rasa tidak percaya akan subur merosakkan perjalanan sesuatu sistem.
Anak dilatih bersopan dan santun, tahu makna malu, boleh dan tidak boleh ia bakal mentertibkan anak dengan amalan yang baik.
Hikmah kejadian alam dan sumber dalam kehidupan sebahagiannya adalah untuk manusia.
Sekiranya perbuatan tidak amanah berlaku, sumber Allah dan negara akan di salahguna dan ia akan merosakkan sistem.

1 comment:

  1. x nampak langsung amende yg ditulis nie...-,-

    ReplyDelete