nuffnang

Wednesday, August 18, 2010

Rahsia Bulan Ramadhan

"Apabila Allah ingin memberikan rahmat kepada hamba-hamba-Nya maka apakah Allah akan mencampakkan rahmat itu kepada Hamba-Nya atau mungkin mengirimkan kepada mereka setiap seorang dengan rahmat itu ?

Atau Allah memberikan kepada mereka PELUANG untuk mendapatkan rahmat-Nya ?

Apabila Allah ingin mengampunkan hamba-hambaNya maka apakah Dia akan menghapuskan dosa hamba-Nya itu dengan begitu sahaja atau Dia (Allah) memberikan PELUANG untuk hamba-Nya itu mendapat Keampunan ?

Ramadhan ialah Peluang daripada Allah...


Ramadhan bulan Al-Furqan

Orang berkata kepada saya kenapa tiada artikel yang menyentuh persoalan puasa keluar dari hasil jejari saya? Saya menjawab bahawa Ramadhan kali ini akan saya habisi dengan muhasabah diri dan sebenar-benar tazkirah untuk diri sendiri.

Allah befirman (yang bermaksud) : Maksudnya : “Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil) kerana itu, Barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, Maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu, dan Barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu dia berbuka), Maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah : 185)

Pada bulan ini, Allah mengehendaki ianya menjadi bulan yang diturunkan Al-Quran yang padanya mempunyai dua ciri utama iaitu sebagai pertunjuk (huda) dan sebagai Al-Furqan (pembeza di antara perkara yang benar dan bathil).

Bulan Ramadhan yang diwajibkan oleh Allah untuk berpuasa di dalamnya juga berperanan sebagai bulan Al-Furqan…Membezakan di antara orang yang bertaqwa dan tidak, membezakan di antara orang yang disucikan oleh ibadah dan pengampunan di dalamnya dengan orang yang tidak disucikan.

Membezakan di antara orang yang menang dengan nafsunya dan orang yang tewas..

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

Matlamat utama daripada bulan Ramadhan ini ialah untuk melahirkan orang-orang yang bertaqwa dan mengampunkan dosa hamba-hamba Allah yang memanfaatkan bulan ini dengan ibadah dan menjalani program pengisian di dalamnya sehingga mereka keluar daripada bulan ini dengan keadaan bersih daripada dosa dan cela.

Persis seruan hadis yang berbunyi : “Barangsiapa yang mendirikan (solat malam) pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, maka diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim)

Begitu juga hadis : “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan keredhaan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis sahih bukahri dan muslim)

Persoalan taqwa dan pengampunan ini bukanlah terletak semata-mata kepada amalan ibadah terawih atau solat yang dilakukan pada bilangan rakaat tertentu di malam hari tetapi terletak kepada seluruh kehidupan seseorang yang melalui bulan ramadhan itu apakah dengan ketaqwaan atau tidak.

Fahamkan anda ? bahawa Allah ingin menguji hamba-hamba-Nya dengan bulan ramadhan untuk melihat siapakah yang bertaqwa. Ianya bukan ujian bertulis atau merupakan soalan objektif yang jawapannya sudah tersedia sebaliknya ujian Allah ini adalah berbeza-beza dengan tahap dan situasi semua manusia.

Allah menguji pemandu bas ekspress dan pemandu lori yang diberikan rukhsoh (keringanan) untuk berbuka puasa bukan dengan amalan puasa atau bilangan rakaat terawih tetapi dengan kegigihan dan usahanya untuk menahan diri daripada kemurkaan Allah dan mendirikan puasa ini dengan ibadah-ibadah yang mampu dilakukan menurut situasinya seperti melakukan perkara yang halal dan meninggalkan perkara yang haram kerana mengharap keampunan Allah.

Itulah ujiannya…bagi yang berjaya mereka mendapat pahala yang berlipat ganda dan keampunan yang menghapuskan dosa.

Allah menguji saya, seorang ustaz di bulan ini dengan ujian keilmuan dan ketaqwaan, untuk melihat apakah saya memiliki keberanian untuk mengatakan yang benar, ujian mengenai keimanan dan kejujuran saya untuk melaksanakan apa yang telah saya ajarkan kepada manusia, ujian apakah benar saya seorang yang meninggalkan perkara yang haram dan mengerjakan perkara yang halal dan sejauh mana kemampuan saya menunaikan perintah-perintahnya dan apakah saya telah menyampaikan apa yang saya ketahui atau sebaliknya.

Ujian Allah ini bukan hanya pada menahan lapar dan dahaga kerana sebahagian manusia diberi rukhsoh (keringan) untuk tidak berpuasa, ujian Allah ini bukan pada menahan nafsu seksual kerana sebahagian manusia memang tidak memiliki nafsu. Puasa menahan makan dan minum ini hanyalah simbolik dan sebagai usaha ibadah dari bahagian perbuatan untuk menghormati bulan ini seperti amalan tawaf dan jamrah saat ketika melakukan haji.

Ujian Allah bukan pada perbuatan itu…

Iblis diuji oleh Allah dengan perbuatan sujud kepada Adam, bukan sujud kepada Adam itu yang menjadi isu..tetapi sikap Iblis yang angkuh itu yang menjadi punca keengganan bersujud…bukan kerana susahnya perbuatan sujud, kerana mulianya perbuatan sujud…ada 1001 fadhilat bagi orang-orang yang bersyujud…bukan..ianya Cuma simbolik…kemurkaan Allah kepada Iblis adalah kerana dia sanggup mengingkari perintah Allah…gagal mematuhi perintah…dia bongkak kepada Allah.

Adam diuji dengan pokok di dalam syurga yang dinamakan oleh Iblis sebagai pokok khuldi…Adam gagal mengawal nafsu dan tergoda oleh Iblis lalu melanggar larangan Allah…Adam dimurkai bukanlah kerana pokok itu beharga, bukanlah kerana pokok itu memang ada 1001 fadhilat atau kelebihan…bukan…ianya cuma simbolik…

Adam melanggar larangan Allah…itu sahaja.

Perbuatan itu simbolik….

Bulan Ramadhan ini ialah bulan yang ditetapkan Allah agar dibuka seluas-luasnya pintu rahmat dan keampunan-Nya sehingga ianya menjadi ujian kepada manusia siapakah yang peduli untuk memanfaatkannya kerana menyedari mereka ialah hamba yang beribadah hanya kepada-Nya dan akhirat ialah kehidupan abadi.

Benar….ujian Allah itu terletak pada Bulan Ramadhan itu sendiri…!

Bulan yang kebajikan digandakan dan diberi tambahan pahala…bulan yang di dalamnya terdapat lailatulqadar yang lebih beharga dari seribu malam..

Kilauan keampunan, ganjaran syurga dan manfaat pahala serta pelbagai lagi yang mengiurkan hanya kepada mereka yang menyakini wujudnya akhirat dan merinduinya.

Ujian untuk melihat siapakah yang menyakini Akhirat dan pahala yang tidak nampak oleh mata kasar dengan mereka yang tidak memanfaatkannya kerana merasakan apa ertinya Ramadhan ?

Aku merasa tiada apa yang luar biasa…Ramadhan ianya cuma hanya pada nama…orang yang berkata begini maka rugilah dia.

Sebaliknya orang yang beriman mereka itu berkata kalau Allah memerintahkan kami membesarkan bulan ini, mengatakan kepada kami yang bulan ini terdapat pelbagai kelebihan maka kami beriman…kami membesarkan bulan ini semata-mara kerana Allah.

Itulah ujian Allah !

Firman Allah (yang bermaksud) : “Sesungguhnya Allah tidak segan membuat perumpamaan berupa nyamuk atau yang lebih rendah dari itu. Adapun orang-orang yang beriman, Maka mereka yakin bahawa perumpamaan itu benar dari Tuhan mereka, tetapi mereka yang kafir mengatakan: "Apakah maksud Allah menjadikan ini untuk perumpamaan?." dengan perumpamaan itu banyak orang yang disesatkan oleh Allah, dan dengan perumpamaan itu (pula) banyak orang yang diberi-Nya petunjuk dan tidak ada yang disesatkan Allah kecuali orang-orang yang fasik.” (Al-Baqarah : 26)


Sumber: ustaz.blogspot.com


2 comments:

  1. Asalamualaikum Saudara

    Terima Kasih kerana sudi berkongsi tazkirah dan tulisan yang cukup menyentuh jiwa

    ReplyDelete
  2. azril... hanya berkongsi ilmu sahaja.... saya masih lagi banyak kekurangan

    ReplyDelete